Adik sayang akak selamanya

Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga
tahun lebih muda daripada aku. Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai
sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen
dari poket seluar ayah. Petang itu, pulang saja dari sekolah ayah
memanggil kami berdua. Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding.
Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah. "Siapa ambil duit
ayah?" tanya ayah bagai singa lapar. Aku langsung tidak berdaya menentang
renungan tajam mata ayah. Kedua-dua kami membisu, cuma tunduk memandang
lantai. "Baik, kalau tak mengaku, dua-dua ayah rotan!" sambung ayah sambil
mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku. Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata, "Saya yang ambil!" Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik. Aku gamam, lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun
air mata adik tak tumpah.

Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut: "Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?" Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang berbirat
dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik cukup tabah. Setitis pun
air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk.
Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku
yang takut berkata benar. Adik segera menutup mulutku dengan
kedua-dua belah tangannya lalu berkata, "Jangan menangis kak, semuanya dah
berlalu!" Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik.

Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku
bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah
berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat
pra-universiti. Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah
bersama ibu di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata, "Zah, kedua-dua
anak kita cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga sekali!" "Tapi apalah
maknanya bang…!" aku terdengar ibu teresak-esak. "Di mana kita nak cari duit
membiayai mereka?" Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di
depan ayah dan ibu. "Ayah, saya tak mahu ke sekolah lagi!" Perlahan-lahan
ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung wajah emak,
kemudian wajah adik dalam-dalam. Panggggg….sebuah penampar singgah di pipi
adik.

Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan
menangis. "Kenapa kamu ni? Tahu tak, kalau ayah terpaksa mengemis kerana
persekolahan kamu, ayah akan lakukan!" "Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak,
dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan," aku
memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak.
"Kakak perempuan…biarlah kakak yang berhenti." Tiada siapa yang menyangka,
dinihari itu adik tiada dibiliknya. Dia membawa bersamanya beberapa helai
baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat
sehelai kertas yang tercatat….. "Kak…untuk dapat peluang ke
universiti bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan kirim wang buat
akak." Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas
dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya
memujuk ayah.

Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik
menerpa: "Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!" "Pemuda kampung?"
bisikku. "Siapa?" Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik
berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen. "Kenapa
sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!" Sambil tersenyum
dia menjawab, "Akak lihatlah pakaian adik ni. Apa yang akan kawan-kawan
akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?" Jantungku terasa berhenti
berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada
pakaian adik. Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara, "Akak tak
peduli apa orang lain kata." Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut
berbentuk kupu-kupu. Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata, "Kak, saya
tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak." Aku
kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya dibasahi
air mataku yang tak dapat ditahan-tahan. Tamat semester, aku pulang ke kampung
sementara menunggu konvokesyen.

Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih,
tak seperti selalu. "Emak, tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah
sambut saya balik." "Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis
tangannya luka-luka." Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami
berdakapan. "Sakit ke?" aku bertanya tatkala memeriksa luka pada
tangannya. "Tak….Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil
dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa.
Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja
keras." Apalagi…aku menangis seperti selalu.

Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik. "Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?" kata
adik. "Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang
adik ada." "Adik tak ke sekolah pun kerana akak." kata ku
memujuk. "Kenapa sebut kisah lama, kak?" katanya ringkas, cuba
menyembunyikan kesedihannya. Adik terus tinggal di kampung dan
bekerja sebagai petani setelah ayah tiada.

Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara majlis bertanya, "Siapakah orang yang paling
anda sayangi?" Spontan adik menjawab, "Selain emak, kakak saya…."katanya
lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati.

"Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke
sekolah. Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya >memakai
kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya. Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah sebab
tertikam tunggul dan calar-balar." "Sejak itulah saya berjanji pada diri
sendiri. Saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya
berjanji akan menjaganya sampai bila-bila." Sebaik adik tamat
bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil
meraung bagaikan diserang histeria.

0 comments: